Saya repostkan kembali entry yang pernah saya tulis pada dua tahun yang lepas. Sebabnya kita (baca: diri saya sendiri), mudah lupa
dan amat perlu untuk diperingatkan banyak kali supaya tidak tergelincir
dan terus thabat di jalan dakwah ini. Semoga kita sama-sama beroleh
manfaatnya.
Syed Qutb ada berkata:
" Apabila
kita hidup hanya untuk kita, hidupnya amatlah singkat. Bermula dari
bermulanya kita dan berakhirnya kita dengan umur kita yang terbatas.
Tetapi jika kita hidup kerana fikrah, sesungguhnya hidupnya panjang dan
mendalam. Bermula daripada bermulanya manusia dan berakhir dengan
luputnya manusia di bumi ini.
Jika
kita rasa kita yang memulakan perjuangan ini, kita akan merasa sempit
dada menghadapi kematian (kerana perjuangan belum mencapai matlamat).
Ingatlah bukan kita yang memulakan dan bukan kita yang mengakhirinya. Ia
dimulakan oleh para Nabi sehinggalah ke akhir zaman.
Kita adalah mata rantai dari satu perjuangan yang panjang."
Adakah
kita salah seorang yang menjadi penyambung mata rantai perjuangan ini?
Perjuangan untuk menegakkan agama Allah yang telah berlangsung semenjak
zaman Rasulullah saw lagi. Sehingga baginda sanggup dibaling batu,
dihina dan dicemuh oleh orang-orang yang tidak sukakan Islam. Betapa
baginda sanggup berkorban bagi memastikan Islam sampai kepada kita pada
hari ini.
Sungguh perjuangan baginda itu tidak mudah. Baginda dan para sahabat berusaha bersungguh-sungguh tanpa mengenal erti putus asa bagi memastikan risalah agung ini sampai kepada kita.
Sejak
baginda menerima wahyu tentang kerasulan baginda di Gua Hira' sampailah
ke penghujung nyawa, baginda tidak pernah lupa akan tugas baginda
sebagai penyampai risalah ini.
Hinggakan dalam khutbahnya yang terakhir juga baginda berpesan:
"Wahai Manusia, tidak ada lagi Nabi atau Rasul yang akan datang selepasku dan tidak akan ada lain agama baru. Oleh itu wahai manusia, nilailah dengan betul dan fahamilah kata-kataku yang telah aku sampaikan kepada kamu. Sesungguhnya
aku tinggalkan kepada kamu dua perkara yang sekiranya kamu berpegang
teguh dan mengikuti kedua-duanya, necaya kamu tidak akan tersesat selama-lamanya. Itulah ALQURAN dan SUNNAHKU.
Hendaklah orang-orang yang mendengar ucapanku, menyampaikan pula kepada orang lain. Semoga yang terakhir lebih memahami kata-kataku dari mereka yang terus mendengar dariku. Saksikanlah Ya Allah, bahawasanya telah aku sampaikan risalahMu kepada hamba-hambaMU."
Tengoklah
betapa Rasulullah saw sangat menyayangi umat-umatnya. Baginda
meninggalkan kita dua perkara yang bila mana kita berpegang teguh
kepadanya kita tidak akan sesat. Dan baginda juga menyuruh kita
menyebarkan risalah Allah kepada orang lain. Sungguh, setiap daripada
kita bertanggungjawab untuk memastikan Islam terus ada dan tersebar di
muka bumi ini.
Ingat,
kita bukannya berseorangan dalam jalan ini. Sekiranya kita berseorangan
maka kita akan senang dipatahkan. Umpama lidi. Sebatang lidi pasti amat
mudah untuk dipatahkan. Tapi sekiranya seberkas lidi ingin dipatahkan,
itu bukanlah satu perkara yang mudah. Disebabkan itulah kita kena
bergerak secara berjemaah, secara berkumpulan. Firman Allah:
"Sesungguhnya
Allah mencintai orang-orang yang berperang di jalan-Nya dalam barisan
yang teratur, mereka seakan-akan seperti suatu bangunan yang tersusun
kukuh."
(Surah As-Saff, 61:4)
Kadang-kadang
saya terfikir, apakah yang menyebabkan Rasulullah dan para sahabat
begitu gigih menyebarkan risalah Allah ini. Akhirnya, saya mengetahui
jawapannya.
Ikhlas dan thabat.
Fatamorgana
dunia tidak pernah menyilaukan pandangan mereka. Terik matahari tidak
pernah melunturkan semangat mereka. Ribut dan taufan juga tidak berjaya
membuatkan mereka berundur. Ancaman-ancaman musuh juga ditempuhi dengan
tabah.
Sebabnya
mereka ikhlas melakukannya kerana Allah. Mereka juga tetap tegak
berdiri di jalan ini walau apa ujian yang melanda. Tetap thabat dalam
perjuangan ini, membela agama Allah.
Sungguh perjalanan ini sangat jauh. Perjalanan ini memang akan memakan masa yang panjang sehinggalah menjelangnya hari kiamat.
"Kalaulah
apa yang engkau serukan kepada mereka (wahai Muhammad) sesuatu yang
berfaedah yang amat mudah didapati, dan satu perjalanan yang sederhana
(tidak begitu jauh), nescaya mereka (yang munafiq) itu akan mengikutimu;
tetapi tempat yang hendak dituju itu adalah jauh bagi mereka dan mereka
akan bersumpah dengan nama Allah dengan berkata: "Kalau kami sanggup,
tentulah kami akan pergi bersama kamu." (Dengan sumpah dusta itu) mereka
membinasakan diri mereka sendiri, sedang Allah mengetahui bahawa
sesungguhnya mereka itu orang-orang yang berdusta (tentang tidak sanggup
mengikutmu)." (Surah At-Taubah, 9:42)
Moga Allah redha.
0 komentar:
Posting Komentar