Kamis, Juni 20, 2013
0
Ramadhan semakin mendekati kita. Tinggal kurang sebulan saja dari sekarang.

 Apakah kita sudah mula berkira-kira dan merancang persiapan menujunya?

Apakah kita sudah mula mendidik anak-anak kita di rumah, kawan-kawan kita di sekolah untuk mula melakukan persiapan menujunya?

Kalau belum, maka marilah merancang bersama kami !
Tetapi, kenapa kita perlu merancang pula? Tidak bolehkah kita masuk begitu saja ke dalam Ramadhan? Tak bolehkah kalau kita masuk ke dalam Ramadhan, kita puasa sajalah, bukan susah pun, kan?
Sebab apa perlu merancang?
Apa Yang Dikejar Sebenarnya Di Dalam Ramadhan?
Kalau ingin berpuasa, maka ia tidaklah susah sangat bagi yang sudah membiasakan diri.
Kalau sekadar ingin memenuhi rutin menghabiskan 30 Juz Al-Quran, pun tidaklah sesusah mana.
Kalau sekadar ingin solat sunat tarawih 8 atau 20 rakaat setiap malam, ia tidaklah membebankan.
Maka, apakah sebenarnya yang kita kejar di dalam Ramadhan ini?

Matlamat akhir di dalam Ramadhan ini bukanlah pada amalan itu semata-mata. Maksudnya bila kita disuruh melakukan puasa, maka bukan terhenti setakat itu saja matlamatnya. Begitu juga, bila disebut ganjaran untuk orang yang membaca AL-Quran di bulan ini sangat besar, bukanlah bermakna kita harus terhenti setakat membaca Al-Quran itu saja.

 Begitu jugalah amalan yang lain.
Semua amalan kebaikan itu bermatlamatkan pada satu matlamat yang tinggi iaitu sebagaimana yang disebutkan oleh Allah s.w.t. dalam surah Al-Baqarah yang bermaksud :

“Wahai orang beriman, diwajibkan ke atas kamu untuk berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas ummat-ummat terdahulu sebelum kamu, agar kamu semua bertaqwa.” [Al-Baqarah : 183]

TAQWA. Itulah intipati atau matlamat utama kepada Ramadhan.
Taqwa itu membentuk hamba Rabbani, bukan hamba Ramadhani. Dalam kata lain, ia tidak menjadikan seseorang itu beramal hanya untuk dan di dalam Ramadhan, tetapi memberikan kesan untuk seseorang itu tetap terus melakukan amal kebaikan biar di luar Ramadhan.

Umpama membaca Al-Quran. Kalau di dalam Ramadhan kita membanyakkan bacaan Al-Quran, maka amalan itu perlu diteruskan juga setelah berada di luar Ramadhan. Itulah kesan Taqwa. Orang yang bila keluar daripada Ramadhan, tetapi tidak berusaha meneruskan kebaikan-kebaikan yang dia telah usahakan di dalam Ramadhan atau kembali menjadi jahat, maka seakan-akan dia tidak mendapat hasil atau manfaat dari Ramadhan yang telah ditempuhinya selama sebulan itu.

Begitulah besarnya harga taqwa, matlamat paling besar untuk dicapai di dalam Ramadhan.
Sebab itulah kita perlu melakukan warming up ataupun latihan menujunya !
Biar kita tidak hanya berpuasa, tetapi kita tahu dan sedar bahawa kita sedang mengejar taqwa.
Biar kita tidak hanya membaca Al-Quran, tetapi kita berusaha memahami ayat Al-Quran, berusaha mengamalkannya dalam rangka untuk mengejar taqwa.

Orang yang bertaqwa dijanjikan syurga oleh Allah s.w.t. :

“Dan bersegeralah kamu kepada keampunan dan syurga yang seluas langit dan bumi yang disediakan untuk orang-orang yang bertaqwa.” [Al-Imran : 133 ]

Begitu besar ganjaran taqwa di sisi Allah s.w.t., maka takkanlah persediaan kita untuk mendapatkannya ala-balai atau sambilewa saja?

Apa Perancangan Anda? Mari Merancang Bersama Kami.
Kita merancang untuk Ramadhan ini supaya kita dapat melaluinya dengan penuh keimanan dan keikhlasan serta kesungguhan. Biar 30 hari ini benar-benar memberikan manfaat untuk bekalan kita sepanjang tahun.
Sabda Nabi s.a.w. :

“Barangsiapa yang berpuasa pada bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan ihtisaban (mengira-ngira – tidak puas hati dengan amalannya) diampunkan dosanya yang lepas.” [HR Bukhari Muslim]

Ibn Hajar menyatakan bahawa iman yang dimaksudkan dalam hadis ini adalah meyakini kefardhuan puasa itu sendiri sementara ihtisaban itu pula adalah meminta ganjaran dari Allah s.w.t.

Imam Nawawi pula menyatakan bahawa ihtisaban itu adalah semata-mata mengharapkan ganjaran Allah s.w.t., bukanlah perhatian dari manusia atau apa-apa saja yang bercanggahan dengan keikhlasan.
Dalam rangka mengharapkan ganjaran Allah s.w.t. itulah, maka marilah persiapkan diri kita dengan amal-amal yang berkualiti agar kita tidak exhausted (semangat di awal, penat bila masuk pertengahan dan akhir).

1) Ajak anggota keluarga atau kawan-kawan rapat untuk bersama-sama puasa sunat di dalam bulan Syaaban. Kalau tidak mampu melakukannya pada kebanyakan hari, paling kurang pun berusahalah pada hari Isnin atau Khamis.

2) Ramadhan adalah bulan diturunkan Al-Quran. Maka berusahalah tingkatkan frekuensi bacaan dan pemahaman kita terhadap ayat-ayat Al-Quran. Pada sengkang-sengkang masa yang ada, ajaklah anggota keluarga untuk mengadakan majlis tadabbur Al-Quran. Luangkan dalam majlis itu untuk merujuk tafsir para ulama’ pada ayat-ayat tertentu yang kita baca supaya kita dapat mendalami lebih lagi apa yang ingin disampaikan oleh Allah s.w.t. melalui ayat-ayatNya.

3) Meluangkan masa sekali-sekala untuk membaca dan mendalami Fiqh Siam (Fiqh Puasa). Antara kitab yang boleh dirujuk adalah kitab Dr Yusuf Al-Qaradawi berkaitan dengan Fiqh Siam ini.

4) Melatih diri dengan akhlak mulia dan banyak membantu orang lain. Sedekah adalah salah satu jalan membantu orang lain.

5) Memperbaiki interaksi dan cara bercakap dengan orang agar kita terhindar daripada kebiasaan mengumpat dan mengeji manusia yang akan mengurangkan lagi kesempurnaan puasa kita di Ramadhan nanti. Bahkan, mengumpat dan mengeji yang tiada bertujuan itu sendiri adalah satu dosa. Ramai sekali orang yang berpuasa, tetapi telah mengurangkan kesempurnaan puasanya dengan bergosip, mengumpat dan mengeji manusia.

6) Di dalam ayat Al-Quran yang bersambungan dengan ayat berkaitan Ramadhan, Allah telah menyebut perihal doa dan kemakbulannya. Latihlah diri kita untuk bersungguh-sungguh di dalam berdoa. Ada orang yang bersambilewa sahaja di dalam doanya kemudian mengharapkan bantuan Allah ke atas dirinya. Seolah-olah mahu pinjam sesuatu dari majikannya, tetapi main-main ketika memintanya. Mintalah bersungguh-sungguh dengan hati yang ikhlas dan bersedia.

Inilah antara persediaan-persediaan yang kita boleh lakukan dalam rangka menuju ‘ihtisaban’ seperti yang disebutkan di dalam hadis Nabi s.a.w. itu.
Kita tidak mudah merasa puas dengan amal yang telah kita lakukan, tetapi kita sentiasa berkira-kira untuk meningkatkan lagi kualitinya ke tahap yang Allah mahukan.

Penutup : Menuju Ramadhan Yang Terancang !

Kalau hendak mendapatkan kejayaan sekecil kejayaan peperiksaan di dunia seperti UPSR dan PMR pun perlukan perancangan dan perlaksanaan yang baik sejak awal sebelum masuk hari peperiksaan. Maka, apakah hendak mendapatkan kejayaan yang lebih besar, iaitu taqwa yang akan memudahkan perjalanan kita ke syurga itu, kita boleh melakukannya dalam keadaan sambilewa dan ambil mudah sahaja?
Syurga itu tempat luar biasa untuk orang biasa yang berusaha secara luar biasa.

Rancanglah persiapan menuju Ramadhan agar kita tidak menjadi orang yang bersemangat di awal Ramadhan tetapi kemudiannya ‘exhausted’ di pertengahan dan akhirnya.
Ramadhan hanya 30 hari. Tersangat singkat tempoh untuk kita merebut taqwa ini.
Taqwa yang Allah sebutkan di dalam surah At-Talaq :

“Barangsiapa bertaqwa kepada Allah,maka Dia akan menjadikan baginya jalan keluar dan menganugerahkannya rezeki dari arah yang tak disangka-sangka.”[At-Talaq :2-3]

Mari rancang persiapan menuju Ramadhan kita. Biar Ramadhan kali ini menjadi lebih baik berbanding Ramadhan yang telah lepas. Jangan disia-siakan musim bunga bagi orang beriman ini.
Setahun selepas ini, belum tentu kita diizinkan untuk bertemunya lagi. Maka hargailah Ramadhan kali ini.
Menuju Ramadhan yang terancang !




Sumber : langitilahi.com

0 komentar:

Posting Komentar